Saturday, July 19, 2008

Hindari Pinjaman Dari Institusi Kewangan Tidak Berlesen

"Kami bukan Along, kami cuma nak tolong!", saya amat tertarik dengan iklan ini di TV. Mengandungi jenaka yang mencuit hati tapi membawa mesej yang jelas.

Bercerita tentang pinjaman dari Along, saya ada seorang kenalan yang menjalankan perniagaan yang pelbagai, meluahkan perasaan kesal tidak terhingga kerana mengambil pinjaman dengan Along. Pinjaman sebanyak RM20,000 telah berlipat-lipat ganda menjadi RM200,000 kerana bunga yang tinggi dan kelewatan beliau menjelaskannya.

Sehingga kini beliau masih menanggung baki RM100,000 lagi. Saya sangat simpati dengan beliau kerana segala penat lelah beliau berniaga hasilnya terpaksa disalurkan untuk membayar balik pinjaman ini.

Tidak banyak yang mampu saya tolong, hanya mampu memberikan idea mengembang perniagaan dan sedikit nasihat mengurus aliran tunai. Semoga beliau tetap cekal menghadapi dugaan ini.

Tuesday, July 15, 2008

Penilaian Pembiayaan Melalui Kaedah 5C

Berikut adalah kriteria yang dinilai oleh pihak pembiaya dalam menilai permohonan pembiayaan melalui Kaedah 5C:-

1) Character (Karakter)
- Pengetahuan anda tentang perniagaan anda, pengalaman dan projek-projek lepas
- Kedudukan kewangan anda, rekod pembayaran balik yang lepas, reputasi dan komitmen anda terhadap perniagaan anda
- Gaya pengurusan dan perniagaan seperti konservatif, aggresif, berhemat dll
- Pelan penggantian anda (Succession Plan), usia dan kesihatan

2) Capital (Modal)
- Sumber modal anda, seperti modal sendiri, modal dari keluarga, modal dari pemegang saham
- Kecukupan komitmen kewangan anda dalam perniagaan dalam bentuk Dana Pemegang Saham/ Pemilik, Pendahuluan Pengarah dan Cagaran Pihak Ketiga (Third Party Charge) oleh anda/pemilik

3) Capacity (Kapasiti)
Kapasiti atau keupayaan perniagaan untuk membayar balik pembiayaan/ pinjaman melalui:-
i) Sumber utama yang dihasilkan dari aliran tunai perniagaan itu sendiri yang mencukupi.
ii) Sumber-sumber lain selain daripada perniagaan tersebut.

4) Conditions (Keadaan)
Faktor-faktor luaran yang boleh memberikan kesan secara langsung atau tidak langsung kepada perniagaan anda seperti perundangan, teknologi terkini, globalisasi, pasaran matawang asing, trend sosial masa kini, persekitaran ekonomi perniagaan dll

5) Collateral (Cagaran/Jaminan)
Cagaran dan jaminan yang anda tawarkan untuk memitigasi atau menggantirugi kelemahan-kelemahan yang timbul dari 4 kriteria di atas. Contohnya, cagaran hartanah, mesin dan asset-aset lain, jaminan pemilik/ pengarah, jaminan pihak ketiga, deposit sekuriti dll

Thursday, July 3, 2008

Kesesuaian Perniagaan Melalui Penilaian Diri

Secara ringkas penilaian diri bagi menentukan perniagaan yang sesuai:

1) Pengalaman Diri - Berdasarkan pengalaman diraih sepanjang berkerjaya terutamanya.

2) Pengetahuan - Ilmu dimiliki secara formal atau tidak formal.

3) Kemahiran - Skil dimiliki secara semulajadi, dipelajari secara formal atau tidak formal.

4) Kewangan - Keupayaan tunai, aset sedia ada, pinjaman atau usahasama.

5) Kecenderungan/Minat - Yang memangkin kesungguhan, keyakinan dan tanggungjawab.

Sunday, June 29, 2008

Pihak Yang Berkenaan Dengan Rancangan Perniagaan

Kita sering dengar pepatah mengatakan : "Gagal merancang adalah merancang untuk gagal". Memang benar, tabiat membuat sesuatu tanpa perancangan adalah berbahaya. Kalau dengan bahasa yang kasar, membabi buta.

Ok, di posting kali ini saya senaraikan pihak-pihak yang kebiasaannya memerlukan Rancangan Perniagaan (RP), antaranya adalah:-

1) Usahawan itu sendiri
Membantu usahawan bagi memahami lebih dalam perniagaan yang mereka ceburi. Ia juga menggariskan misi dan visi perniagaan yang menjadi panduan usahawan tersebut dalam menerajui perniagaan agar dapat meningkatkan keuntungan dan mengelakkan/ mengurangkan kerugian.

2) Bank/Institusi Kewangan/Pembiaya
Mereka ini adalah sumber bagi mendapatkan bantuan kewangan. Dengan Rancangan Perniagaan, usahawan dapat meyakinkan bahawa perniagaan mereka adalah berpotensi untuk dikembangkan dan berdaya maju. Ia juga membantu bank/ insitusi kewangan/ pembiaya dalam penilaian kredit dan potensi bayaran balik usahawan.

3) Pelabur
Ia juga adalah sumber bantuan kewangan. Berbeza dengan bank/ institusi kewangan / pembiaya yang memberikan pembiayaan/ pinjaman, pelabur terlibat dalam bentuk usahasama dan pemegangan ekuiti dalam perniagaan/ syarikat tersebut. Samada terlibat secara aktif atau dormant dalam perniagaan tersebut, pelabur mahu melihat potensi pulangan pelaburan mereka.

4) Pembekal bahan mentah/ barangan/ perkhidmatan
Usahawan memerlukan kredit daripada pembekal bahan mentah/ barangan/ perkhidmatan mereka bagi kelegaan aliran tunai perniagaan. Dengan kredit seperti 7, 14, 30 hari dll dari pembekal, ia memberi peluang pusingan jualan hinggalah kutipan jualan dari pelanggan yang lengkap bagi membolehkan usahawan membayar invois pembekal pada masa yang ditentukan. Rancangan Perniagaan meyakinkan pembekal akan kekuatan perniagaan, reputasi usahawan dan potensi bayaran balik.

5) Pelanggan
Pelanggan biasanya mahu melihat samada usahawan mampu membekalkan barangan/ perkhidmatan dengan kualiti, kuantiti dan spesifikasi dalam masa dan tempat seperti yang dijanjikan. Rancangan Perniagaan membantu usahawan dalam meyakinkan pelanggan antara lain tentang produk, kepakaran, pengalaman, 'track record' urusniaga sebelum ini juga testimonial dari pelanggan yang lain.

6) Pekerja
Rancangan Perniagaan juga perlu bagi membantu usahawan dalam meyakinkan pekerja-pekerja tentang misi dan visi perniagaan/ syarikat agar mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh, setia dan yang paling penting mereka jelas dengan halatuju dan matlamat perniagaan/ syarikat. Dengan ini usahawan dan pekerja mempunyai persefahaman dan bergerak seiringan.